Tuesday, December 9, 2008

MATA & HATI

MATA & HATI Mata layu hati sayu. Mata terang hati girang. Mata bersinar hati benar. Mata besar hati berdebar. Mata tutup hati takut. Mata redup hati kusut. Mata lebar hati sabar. Mata sempit hati sakit. Mata kuyu hati rindu. Mata merah hati marah. Mata ke bawah hati lemah. Mata ke atas hati keras. Mata ke tepi hati sepi. Mata ke dalam hati dendam. Mata ke luar hati kasar. Mata galak hati berbuak. Mata basah hati gundah. Mata pejam hati kelam. Mata kerdip hati pelik.

Wednesday, December 3, 2008

Tindakan reformis di negeri Selangor menggambarkan orang Melayu sudah hilang budaya sopan santun. Budaya ini tidak pernah diajar dalam masyarakat Melayu sejak zaman dahulu lagi. Budaya bogel ini hanya hanya berlaku dalam kalangan masyarakat primitif dan dalam kalangan orang yang mencari identiti tanpa panduan agama. Saya kesal kerana penganjurnya melayu yang pada anggapan saya adalah muslim. Sepatutnya sebagai pemimpim reformis menjaga nama dan maruah bangsa dan keluarga. Reformis memperjuangkan sesuatu yang baik untuk masyarakat, bukannya membudayakan masyarakat ke arah yang lebih buruk.

Monday, November 10, 2008

UCAPAN KAUNSELOR SEMASA MAJLIS TITIPAN RESTU SPM 2008 Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk berucap sempena majlis yang memberikan makna Kepada semua warga SMK Menjalara khususnya pelajar-pelajar tingkatan lima 2008. Hadirin sekalian. Masa beredar begitu pantas sekali. Kadang kadang kita rasa tidak cukup masa yang kita miliki. Sehingga hari ini calon-calon SPM semakin hampir ke hari untuk menduduki peperiksaan. Satu penilaian yang penting dalam kehidupan seorang pelajar di sekolah menengah. Keputusan peperiksaan SPM ini nanti akan menentukan hala tuju pelajar pada masa yang akan datang. Kepada calon-calon SPM 2008, Sampan telah disediakan, dayung juga telah diberikan. Arus air juga telah ditunjukkan. Laluan juga telah diarahkan. Terpulanglah kepada anda. Sebanyak manakah peralatan yang mahu gunakan. Kemahiran apakah yang anda akan laksanakan. Pengalaman manakah yang akan dijadikan panduan. Selama empat atau lima tahun lebih, pihak sekolah dan guru-guru telah cuba sedaya upaya membantu anda supaya anda mendapat kejayaan yang cemerlang. Kadang-kala terpaksa memaksa demi sayangnya guru-guru kepada anda. Mereka telah banyak berkorban, mereka berkorban masa, mereka berkorban tenaga malahan mereka berkorban harta, semuanya untuk melihat anda berada di kalangan orang yang berjaya. Pelajar-pelajar, begitu bahagia dan bangga seorang guru apabila mendapat tahu muridnya berjaya. Itu pengorbanan seorang guru, bagaimana pula dengan anda. Saya percaya pada saat terakhir ini guru-guru mengharapkan anda mencuba, cuba, cuba dan mencuba. Oleh itu Kepada semua calon SPM, gunakan peluang yang ada ini untuk menempah kejayaan anda sendiri. Gunakanlah segala usaha dan tenaga anda, kelebihan-kelebihan yang ada pada diri anda dan sokongan-sokongan yang anda perolehi untuk menghadapi SPM ini. Pelajar-pelajar sekalian, Kejayaan anda akan mengubah corak kehidupan orang yang signifikan dengan anda. Kejayaan anda adalah kejayaan mereka juga. Kejayaan anda memberikan kegembiraan kepada mereka. Kejayaan anda memberikan kehidupan baru bagi mereka. Ini bererti kejayaan anda adalah satu hadiah yang amat bermakna bagi mereka. Pelajar-pelajar sekalian. Cubalah, sempurnakanlah harapan orang di sekeliling anda. Jadikanlah impian anda sebagai kenyataan. Untuk masa 3 hari ini, dapatkanlah keberkatan di sisi Tuhan, dapatkanlah keberkatan daripada orang-orang yang menyayangi anda, dapatkanlah keberkatan dari alam sekeliling anda. Hindarkanlah diri dari perkara yang remeh temeh yang akan nanti mengganggu emosi anda. Suatu kejayaan selalunya tidak gugur dari bintang. Kejayaan juga tidak dating begitu senang. Hanya dengan usaha anda selama ini dan disertakan dengan doa dan diizinkan Tuhan ia akan menjadi milik anda. Harapan saya semua calon SPM di hadapan saya hari ini akan memperolehi kejayaan yang cemerlang. Sekian terima kasih.